Kota Kinabalu: Seorang wanita yang memandu kereta curi nekad melarikan diri sehingga sanggup merempuh beberapa kenderaan dalam kejadian bermula di Jalan Tun Fuad, di sini, hari ini.
Pemilik terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan sebelum berlaku insiden mengejar kenderaan sehingga melepaskan beberapa das tembakan yang berakhir di Jalan Sepanggar berhampiran Perumahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan George Abd Rakman berkata, sebaik menerima laporan, pasukan unit peronda MPV polis berjaya mengesan kedudukan kenderaan berkenaan di Jalan Tanjung Lipat, di sini.
Bagaimanapun katanya, ketika diarahkan untuk memberhentikan kenderaan, suspek masih tidak mengendahkan arahan dan terus memecut kenderaan untuk melarikan diri.
“Dua kereta MPV yang turut dibantu pasukan trafik cuba sekali lagi menghalang kenderaan suspek melarikan diri di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun suspek terus merempuh sekatan jalan dan terus menuju ke Jalan Sepanggar.
“Semasa di hadapan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, kenderaan suspek tersekat akibat kesesakan lalu lintas dan ketika cuba menahannya, suspek sekali lagi cuba melarikan diri menggunakan lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, suspek kemudiannya tiba-tiba bertindak mengundurkan kenderaan dengan laju sehingga terkena salah seorang pegawai polis dan menyebabkan kecederaan.
Katanya, pasukan polis akhirnya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sehingga menyebabkan kenderaan suspek tidak dapat bergerak.
“Pasukan polis kemudiannya berjaya memecahkan tingkap hadapan kenderaan dipandu suspek dan terus menahan suspek untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan polis turut menemui syabu dipercayai untuk kegunaan suspek” katanya.
Sehubungan itu, George berkata, suspek kes ini membabitkan seorang wanita tempatan yang tidak bekerja dan beralamat terakhir di Kampung Sembulan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit bersalah.
– Deasoka
Aqasya is the dedicated author behind www.mingguankerja.my, the go-to platform for comprehensive coverage of job vacancies and pressing current issues in Malaysia. With a knack for delivering informative and insightful content, Aqasya keeps the Malaysian audience well-informed and connected to employment opportunities and local affairs.