Koperal polis ditemukan rentung dalam bilik di Tawau

Kongsikan Artikel Ini

bomba

telegram%2Bimage

TAWAU: Anggota polis, Koperal S Yogeswaran, 35, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, ditemukan rentung di sebuah bilik di Taman King Fook, Jalan Utara, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephen berkata, pihaknya menemukan mayat itu ketika operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.17 pagi.



“Seramai 14 anggota bersama dua jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke sebuah rumah di Taman King Fook, bagaimanapun sebaik tiba di situ kebakaran membabitkan sebuah bilik itu sudah dipadamkan sebelum jentera tiba.

“Pasukan bomba bertindak membuka pintu utama rumah berkenaan untuk pengudaraan sebelum menemukan mayat lelaki di bilik berkenaan dalam keadaan rentung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan di tempat kejadian dan dalam kalangan saksi masih dijalankan, termasuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kenyataan rasmi mengenai perkara ini akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi,” katanya. – HMetro

Kemaskini: Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mayat sudah di bawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.

“Memang berlaku kebakaran di sebuah bilik di mana mangsa ditemui tetapi ketika polis tiba, pintu terkunci dan kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak bomba untuk masuk ke dalam.

“Mangsa adalah seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Difahamkan, mayat lans koperal berusia 35 tahun itu mempunyai kesan kecederaan pada kepala, dipercayai akibat tembakan selain turut ditemukan sepucuk senjata api dipercayai milik mangsa yang terletak bersebelahannya.



Diminta mengulas lanjut berhubung kesan tembakan itu, Jasmin berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

“Itu masih dalam siasatan (kesan tembakan pada kepala) sebab bedah siasat pun belum dibuat.

“Cuma setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah,” katanya. – Sinar Harian


Kongsikan Artikel Ini