Alhamdulillah esok 3 April 2022 kita akan mula berpuasa. Jangan risau kami kongsikan lafaz niat puasa sebulan & harian bulan Ramadhan untuk rujukan anda.
Sebelum itu, kami di mingguankerja mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1444H buat semua umat Islam di Malaysia.
Apa Itu Puasa?
Puasa secara bahasa bermaksud “menahan diri“.
Dari segi istilah syarak puasa bermaksud “menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat“.
Lafaz Niat Puasa Sebulan
Lafaz Niat Puasa Sebulan di Bulan Ramadhan
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Bahasa rumi: Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala
Lafaz Niat Puasa Harian
Lafaz Niat Puasa Harian di Bulan Ramadhan
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Bahasa rumi: Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
PANDANGAN MAZHAB SYAFI’IE
MAZHAB MALIKI
Seseorang itu diharuskan niat puasa sebulan pada malam Ramadhan yang pertama dan tak wajib niat setiap malam.
PANDANGAN SEBAHAGIAN ULAMA MAZHAB SYAFI’IE
Boleh berpegang pada pendapat mazhab Maliki dalam hal ini sebagai langkah bejaga-jaga dan dalam masa yang sama tetap wajib berniat pada setiap malam Ramadhan.
RENUNGAN BULAN RAMADHAN TAHUN 2022/ 1444 HIJRAH
Pernahkah kita terfikir, bagaimanakah agaknya andai Ramadan kali ini ialah Ramadan yang terakhir dalam hidup kita?
Ramadan seterusnya, masih adakah peluang untuk kita mengumpul pahala berterawih dan bertadarus al-Quran? Masih sempatkah untuk kita merebut peluang bertemu dengan malam al-Qadar?
Tiada siapa yang mampu untuk memberi kepastian, bagi setiap persoalan.
Sahabat, mulakanlah persiapan kita seawal yang mungkin bagi bertemu dengannya. Anggaplah ini kesempatan terakhir kita untuk menikmati setiap kemanisan ibadah di dalamnya.
Mulakan dengan melakukan 10 tips ini sebagai persiapan kita sebelum menempuhi bulan Ramadan yang mulia:
1. Perbetulkan niat.
Daripada Umar al-Khattab r.a.:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat.
[HR Bukhari]
• Jika hati dan niat kita telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT, maka amal perbuatan kita selepas itu akan menjurus kepadanya juga.
• Persiapkan niat kita untuk menghadapi Ramadan ini hanya kerana Allah SWT
2. Latih diri berpuasa.
• Sebaiknya kita melatih diri untuk berpuasa sunat pada bulan sebelumnya; seperti puasa Isnin dan Khamis.
• Menurut sirah, Rasulullah SAW melipatgandakan kuantiti dan kualiti ibadat puasa.
Hal itu diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:
كَانَ رَسُولَ اللهِ يَصُومُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَاماً فِي شَعْبَانَ
Maksudnya: “Rasulullah banyak berpuasa (pada bulan Syaaban) sehingga kami mengatakan, baginda tidak pernah berbuka, dan kadang-kadang baginda terus-menerus berbuka hingga kami menganggap baginda tidak berpuasa langsung. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali puasa Ramadan. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah banyak berpuasa (di luar Ramadan) melebihi Syaaban.”
[HR Muslim]
3. Pelajari hukum hakam puasa.
• Dalami ilmu agama yang berkenaan dengan puasa contohnya hukum-hakam dan fadhilatnya. Jika ada kemusykilan, jangan malu atau segan untuk merujuk kepada mereka yang lebih arif.
• Tujuannya adalah agar apa yang akan diamalkan dalam ibadah puasa lebih bermakna dan bulan Ramadan lebih dihayati.
Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menyebutkan:
“Barangsiapa yang beribadah kepada Allah SWT tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.”
4. Menyelesaikan qada puasa.
• Ramai para sahabat Nabi Muhammad SAW di kalangan wanita mengganti puasa-puasa mereka yang tidak sempat terlaksanakan sebelum tibanya bulan Ramadan.
Daripada Saidatina Aisyah r.a. mengatakan:
كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Kami dulu mengalami haid. Kami diperintahkan untuk mengqada (mengganti) puasa dan kami tidak diperintahkan untuk mengqada solat.”
[HR Muslim]
5. Lazimi qiamullail.
• Mujahadah untuk bangun malam sebelum tibanya Ramadan (beberapa kali seminggu).
• Hal ini bagi mengelakkan kita daripada liat untuk bangun malam di bulan Ramadan serta memudahkan kita untuk bangun bersahur.
Dr. Sayyid al-Affani berkata:
“Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada Allah SWT dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat.”
6. Menjaga kesihatan.
• Kesihatan haruslah dijaga supaya tubuh bersedia untuk beribadah apabila Ramadan tiba.
• Melatih diri untuk kurangkan jumlah pengambilan makanan supaya tidak sering merasa lapar ketika berpuasa kelak.
• Amalkan juga senaman ringan agar tubuh kekal cergas untuk berpuasa.
7. Memperbanyakkan doa.
• Berdoa supaya Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.
• Memohon pada Allah supaya diri dan keluarga sentiasa sihat sepanjang Ramadan.
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”
[HR Ahmad]
8. Melazimi sedekah.
• Mulakan amalan bersedekah sedikit semi sedikit daripada sekarang.
• Sedekah tidak semestinya dalam bentuk harta. Ianya termasuk dengan mempamerkan akhlak yang baik, senyuman dan raut wajah yang menyenangkan, meringankan beban dan membantu orang lain.
• Boleh juga kenalpasti jiran tetangga yang kurang berkemampuan dan hulurkan bantuan kepada mereka.
9. Membaca al- Quran & zikir.
Daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda :
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
Maksudnya : “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”
[HR Muslim]
• Mulakan membaca Al-Quran dan lazimi zikir supaya ia menjadi satu kebiasaan.
• Memperkemaskan bacaan Al-Quran dengan pelajari ilmu tajwid.
• Bila Ramadan tiba, amalan ini diteruskan dengan beberapa penambahbaikan seperti membaca terjemahan dan mentadabbur ayat-ayatnya.
10. Merancang target Ramadan.
• Target untuk khatam al-quran (rancang berapa helai atau juzuk yang akan dibaca dalam sehari supaya dapat khatam sebelum Ramadan berakhir).
• Target untuk bersedekah.
• Target untuk solat sunat (solat sunat rawatib, dhuha, tarawih, tahajud, taubat, hajat, dan lain2).
Daripada Hasan al-Basri:
فَالْعَجَبُ مِنَ اللَّاعِبِ الضَّاحِكِ، فِي اليَوْمِ الَّذِي يَفُوْزُ فِيْهِ الْمُحْسِنُوْنَ
Maksudnya: “Maka amat menghairankan bagi mereka yang bermain-main dan bergelak ketawa (tidak bersedia untuk Ramadan) dalam hari orang-orang yang baik itu sedang berjaya (dalam mempersiapkan diri untuk Ramadan).
[Ibn Rajab, Bughya al-Insan]
Subhanallah. Nukilan Hasan al-Basri di atas sangat menyentuh sanubari. Maka sungguh rugilah bagi mereka yang tidak mempersiapkan diri untuk menuju bulan Ramadan al-Mubarak.
Semoga kita semua akan menempuh Ramadan kali ini dengan penghayatan yang berbeza.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
Tulisan: USTAZAH ASMA’ BINTI HARUN
Aqasya is the dedicated author behind www.mingguankerja.my, the go-to platform for comprehensive coverage of job vacancies and pressing current issues in Malaysia. With a knack for delivering informative and insightful content, Aqasya keeps the Malaysian audience well-informed and connected to employment opportunities and local affairs.