Permohonan i-Sinar Diberikan Kelulusan Automatik Bermula 8 Mac 2021
KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun yang sudah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac ini.
KWSP dalam kenyataannya memaklumkan, ia termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh terbabit, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.
“KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari lalu membabitkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online,” katanya.
Jadual Pembayaran Maksimum Selama 6 Bulan Kekal Sama Sebelum Ini
Dana persaraan itu turut menjelaskan, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal seperti sebelum ini.
Katanya, ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah di dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.
“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” katanya.
Sementara itu, KWSP berkata, ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1.
“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.
Pembayaran Interim RM1,000 Akan Diberhentikan
KWSP berkata, pemansuhan kriteria i-Sinar itu juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lalu akan dihentikan.
“KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, untuk menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac.
“Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepatkan pembayaran wang i-Sinar.
“Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion sudah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada bulan Disember 2020, memanfaatkan 3.3 juta ahli,” katanya.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848.
Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.
Sumber: bharian.com.my
Aqasya is the dedicated author behind www.mingguankerja.my, the go-to platform for comprehensive coverage of job vacancies and pressing current issues in Malaysia. With a knack for delivering informative and insightful content, Aqasya keeps the Malaysian audience well-informed and connected to employment opportunities and local affairs.