RM10K Bersasar atau One-Off? Maklumat Terperinci I-SInar Diumumkan Rabu Ini

Kongsikan Artikel Ini

RM10000%2BBersasar%2Batau%2BOne%2BOff
Maklumat Terperinci i-Sinar diumumkan Rabu Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan maklumat terperinci mengenai kelayakan dan proses pengeluaran caruman daripada Akaun 1 di bawah program i-Sinar pada Rabu ini.



Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengumuman mengenai program yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 itu akan menjawab segala kekeliruan yang timbul dalam kalangan orang ramai.

Pihak KWSP akan membuat pengumuman mengenai perinciannya, bagaimana prosesnya dan sebagainya pada Rabu (ini),” katanya ketika menyertai program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang dihoskan pengacara Sherkawi Jirim, di sini, hari ini.

Individu Kehilangan Pekerjaan Atau Mengalami Pengurangan Gaji Boleh Membuat Pengeluaran Sehingga RM 10,000

Tengku Zafrul berkata secara umum, mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji layak membuat pengeluaran sehingga RM10,000 sekiranya baki simpanan dalam Akaun 1 kurang daripada RM90,000.

Sebelum ini dilaporkan, pencarum yang mempunyai simpanan lebih daripada RM90,000 di dalam Akaun 1 boleh mengeluarkan caruman sehingga 10 peratus dengan pengeluaran maksimum RM60,000.

Mengenai peruntukan berjumlah RM3 bilion untuk membiayai pembelian vaksin COVID-19 yang dikatakan tidak mencukupi, Tengku Zafrul berkata peruntukan itu akan ditambah berdasarkan keperluan.

” Kita tidak akan teragak-agak untuk menambah peruntukan jika perlu…ini bukan sahaja untuk vaksin, bahkan ini untuk semua peruntukan yang diperlukan berkaitan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terutamanya untuk memerangi COVID-19.

“Mengikut kajian KKM dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi, lebih kurang RM3 bilion diperlukan untuk memvaksin lebih kurang 70 peratus rakyat Malaysia. Itu anggaran diberikan berdasarkan perbincangan mereka dengan syarikat pengeluar vaksin,” katanya.

Mengenai jumlah peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), beliau berkata jumlah peruntukan hanya akan diketahui semasa persidangan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021).
“Di peringkat jawatankuasa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membuat pengumuman mengenai peruntukan (J-KOM) dan berapa banyak yang dikurangkan.
“Kementerian Kewangan dan KKMM masih berbincang, apa yang kita mahu lihat dan dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah,” katanya.

Sumber: Bernama

Kongsikan Artikel Ini