Rumah Mesra Rakyat 2.0. Anda Ada Tanah dan Ingin Bina Rumah Sendiri? Mohon Subsidi Sehingga RM20,000 Melalui Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) SPNB!
Bagi anda yang memiliki tanah persendirian tetapi belum mempunyai rumah sendiri, ini peluang yang tidak patut dilepaskan. Dalam pembentangan Bajet 2024, sebanyak RM358 juta telah diperuntukkan untuk meneruskan 14 Program Rumah Mesra Rakyat dengan sasaran membina sebanyak 3,500 unit rumah. Sehingga 31 Januari 2024, terdapat 187,248 permohonan untuk program ini, dan 65,758 daripadanya telah diluluskan.
BACA JUGA PERMOHONAN RUMAH PPR
Dengan peruntukan yang diumumkan ini, anda boleh memanfaatkan peluang ini sepenuhnya. Selain Skim RMR, terdapat juga 7 skim perumahan kerajaan lain untuk kumpulan B40 dan M40 yang boleh anda semak dan mohon.
1. Apa Itu Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) SPNB?
Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani, atau keluarga miskin yang belum memiliki rumah atau tinggal di rumah yang uzur. Jika anda mempunyai tanah sendiri, program ini memberi peluang untuk membina rumah yang selesa.
Melalui skim ini, pemohon layak menerima subsidi pembinaan sehingga RM20,000. Jumlah ini cukup besar dan boleh meringankan kos pembinaan rumah anda.
2. Syarat Permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR)
Berikut adalah syarat-syarat kelayakan untuk memohon skim ini:
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 65 tahun.
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000.
- Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau tinggal di rumah yang uzur.
- Tanah mesti bebas daripada bebanan atau gadaian. Jika tanah bukan milik pemohon, kebenaran daripada tuan tanah diperlukan.
- Keluasan tanah mesti tidak kurang daripada 3,000 kaki persegi (bergantung kepada reka bentuk rumah).
- Pemohon kedua diperlukan jika pemohon pertama berumur lebih 42 tahun.
3. Ciri-Ciri Program Rumah Mesra Rakyat
- Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman web rasmi SPNB.
- Reka bentuk rumah adalah rumah satu tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
- Caj pengurusan pinjaman dikenakan sebanyak 2%.
- Harga rumah berbeza mengikut lokasi:
Perkara | Semenanjung Malaysia | Pulau di Semenanjung | Sabah/Sarawak/Labuan |
---|---|---|---|
Keluasan Rumah | 750 kaki persegi | 750 kaki persegi | 750 kaki persegi |
Keluasan Tanah | 3,000 kaki persegi | 3,000 kaki persegi | 3,000 kaki persegi |
Harga | RM75,000 | RM85,000 | RM75,000 ke atas |
4. Cara Memohon Rumah Mesra Rakyat
Permohonan boleh dilakukan melalui langkah-langkah berikut:
- Layari laman web SPNB.
- Klik pada “Permohonan Baru” dan isi borang pendaftaran.
- Kata laluan akan dihantar ke e-mel anda.
- Gunakan Login ID dan kata laluan tersebut untuk mengisi permohonan.
- Cetak borang permohonan selepas selesai dan lampirkan dokumen sokongan.
- Hantar borang ke cawangan SPNB yang berdekatan.
5. Dokumen Diperlukan
Pastikan anda menyediakan dokumen berikut:
- Salinan kad pengenalan pemohon, pasangan, dan tuan tanah.
- Geran tanah terkini dan sijil carian rasmi.
- Slip gaji 3 bulan terkini atau surat pengesahan pendapatan.
- Surat akuan kebenaran pelepasan tanah.
- Salinan sijil nikah (jika berkenaan).
Tanggungjawab Pemohon yang Tidak Akan Diuruskan oleh Pihak SPNB
Dalam program Rumah Mesra Rakyat (RMR), adalah penting untuk difahami bahawa pihak SPNB hanya bertanggungjawab dalam proses pembinaan rumah sahaja. Beberapa perkara lain seperti penyediaan tapak binaan, penyambungan bekalan api dan elektrik perlu diuruskan oleh pihak pemohon. Begitu juga dengan urusan ubahsuai, SPNB akan membina rumah mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Oleh itu, berikut adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pemohon sendiri yang tidak akan dikendalikan oleh pihak SPNB:
- Ubahsuai: Ubahsuai yang tidak melibatkan struktur rumah boleh dipertimbangkan melalui permohonan kepada SPNB. Sebarang ubahsuai yang dilakukan tanpa pengetahuan pihak SPNB adalah di bawah tanggungjawab pemohon.
- Mengisi dan Melengkapkan Borang Permohonan: Pemohon perlu mengisi borang permohonan dengan lengkap dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
- Menyediakan Jalan Masuk dan Tapak Pembinaan: Pemohon bertanggungjawab menyediakan jalan masuk ke tapak dan memastikan tapak pembinaan memenuhi spesifikasi yang diperlukan.
- Penyambungan Bekalan Utama: Pemohon perlu menguruskan penyambungan bekalan elektrik dan air ke bangunan yang dibina.
- Pinjaman kepada Bank/Institusi Kewangan: Jika perlu, pemohon juga perlu membuat pinjaman kepada bank atau institusi kewangan untuk tujuan pembiayaan.
Tempoh Kelulusan dan Pembinaan Rumah
Setelah permohonan dihantar, pihak SPNB akan memberikan maklum balas dalam tempoh tiga (3) bulan. Kelulusan akan diberikan tertakluk kepada peruntukan kewangan tahunan semasa, dan kelulusan ini akan mempengaruhi proses pembinaan rumah.
Bagi tempoh pembinaan rumah pula, ia dijangka mengambil masa selama lapan belas (18) bulan dari tarikh penyerahan tapak kosong atau perjanjian, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak SPNB.
Ciri-Ciri Tanah yang Ingin Digunakan bagi Membangun Rumah
Terdapat beberapa ciri yang perlu diketahui oleh pemohon mengenai tanah yang ingin digunakan untuk membina rumah di bawah program Rumah Mesra Rakyat. Berikut adalah kriteria tanah yang boleh digunakan:
- Tanah Pemilik yang Telah Meninggal Dunia: Tapak tanah yang dimiliki oleh individu yang telah meninggal dunia tidak boleh digunakan untuk pembinaan rumah. Semua pemilik tanah mesti masih hidup dan memberikan kebenaran.
- Persetujuan Semua Pemilik Tanah: Jika tanah mempunyai ramai pemilik, kesemua pemilik tanah yang masih hidup perlu memberikan persetujuan untuk membina rumah di tapak tersebut.
- Ketiadaan Sekatan Pendaftaran Gadaian: Tanah yang ingin digunakan mesti bebas daripada sebarang sekatan atau bebanan yang berkaitan dengan pendaftaran gadaian.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat SPNB atau layari laman web mereka. Jangan lepaskan peluang untuk membina rumah idaman anda!