Ramai yang gembira dan mengharapkan cadangan pengeluaran KWSP buat kali terakhir, i-Ceria, yang dicadangkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif akan dapat direalisasikan.
Namun buat masa ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bercadang membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum sebelum had umur yang ditetapkan.
Tiada Lagi Pengeluaran KWSP Selepas Ini @ i-Ceria
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.
Menurutnya, tempoh bagi tiga skim pengeluaran sudah pun berakhir iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
“Tiga skim itu sudah pun berakhir (kemudahan pengeluaran terakhir adalah i-Citra pada bulan lalu).
“Adalah penting bukan hanya melihat kepada permintaan itu (idea i-Ceria) tetapi juga konteks utama KWSP seperti yang saya bentangkan iaitu mengutamakan bekalan simpanan untuk pekerja yang sudah bersara.
“Kita faham apabila kita terima desakan. Tetapi kena ingat mandat diberikan kepada KWSP mengikut akta adalah menolong ahli mencapai simpanan untuk hari tua,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Prestasi Kewangan KWSP 2021 dan Pengumuman Dividen, di sini, hari ini.
Mohd Salim ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, cadangan i-Ceria ini diusulkan kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.
Negara Sudah Memasuki Fasa Pemulihan Ekonomi
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, data pekerja dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sudah pun memasuki fasa pemulihan ekonomi.
Oleh sebab ini, tiada lagi pengeluaran KWSP @ i-Ceria diperlukan, sebaliknya fokus terhadap membina simpanan hari tua.
“Saya harap kita tak payah keluar lagi (mengeluarkan KWSP sebelum tempoh masa bersara).
“KWSP akan terus fokus dengan mandat untuk membina simpanan hari tua pencarum.
“Peranan kita adalah memudahkan kehidupan ahli sewaktu persaraan,” katanya.
Terdahulu dalam pembentangannya, beliau turut menjelaskan pengeluaran KWSP yang sudah dibuat ahli dalam tempoh pandemik Covid-19.
Katanya, ia membabitkan RM20.8 bilion pengeluaran i-Lestari bagi tempoh April 2020 hingga Mac 2021.
“i-Sinar berjumlah RM58.7 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 dan i-Citra berjumlah RM21.4 bilion untuk tempoh Julai 2021 hingga Februari 2022.
“Jumlah keseluruhan pengeluaran untuk ketiga-tiga skim dianggarkan RM110 bilion,” katanya.
Berdasarkan rekod, katanya, seramai 7.3 juta ahli memohon sekurang-kurangnya satu atau semua skim berkenaan.
Kesan Pengeluaran Awal KWSP Agak Membimbangkan
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah, kesan pengeluaran awal KWSP itu adalah agak membimbangkan kerana ramai ahli berisiko hidup dalam kemiskinan sewaktu persaraan.
“Orang tua tak cukup simpanan untuk bekalan perbelanjaan menjalani kehidupan seharian yang menjadi kebimbangan kami di KWSP.
“Malaysia negara menua atau akan mempunyai jumlah warga tua yang ramai.
“Penting setiap daripada kita mempunyai sekuriti simpanan untuk digunakan selepas persaraan atau sewaktu tidak lagi bekerja bagi menjana pendapatan,” katanya.
Beliau menegaskan, selain kesihatan, keupayaan kewangan masyarakat dalam golongan berusia juga perlu dijamin.
Sumber: Harian Metro
Aqasya is the dedicated author behind www.mingguankerja.my, the go-to platform for comprehensive coverage of job vacancies and pressing current issues in Malaysia. With a knack for delivering informative and insightful content, Aqasya keeps the Malaysian audience well-informed and connected to employment opportunities and local affairs.